MENGAPA TIADA MUQADDIMAH DI AWAL KITAB SAHIH AL-BUKHARI? SERTA MIMPI AL-KANDAHLAWI TENTANGNYA.
Jika kita kembali melihat kepada sejarah keilmuan islam, maka kita akan dapati bahawa ilmu hadis telah mengalami rentetan sejarah yang sangat panjang.
Pada permulaan islam, penulisan hadis-hadis Rasulullah saw di dalam sebuah buku yang khusus adalah dilarang. Sebelum ianya secara rasmi telah di izinkan pada zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz.
Maka mulalah para ulama menuliskan dan membukukan hadis-hadis yang mereka hafal di dalam kitab-kitab yang khusus. Lalu ianya menjadi tradisi di dalam dunia keilmuan islam.
Di antara karya yang mendapat perhatian adalah kitab himpunan hadis yang ditulis oleh imamuhaddisin yang agung bernama Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Kitab ini menjadi rujukan utama dalam dunia muhaddisin dan diakui sebagai kitab yang paling sahih di dunia setelah al-Quran.
Namun tindakan al-Bukhari yang tidak memulakan kitab karangannya dengan Hamdalah (puji-pujian terhadap Allah swt) telah mengundang isu di kalangan para pengkaji kitabnya. Kerana perbuatan ini dianggap berlawanan dengan hadis Rasulullah saw dari riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah,
كل أمر ذي بال لا يبدأ فيه بالحمد لله أو بالحمد فهو أقطع
"Segala perkara penting yang tidak diawali dengan hamdalah, maka perkara tersebut terputus (dari rahmat)."
Maka para sarjana pengkaji kitab beliau telah menjawab isu ini dengan berbagai jawapan, di dalam karangan masing-masing.
Syekhul hadis Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dalam membahas isu ini beliau telah mengongsikan mimpi beliau bertemu imam al-Bukhari dan penjelasan Imam al-Bukhari Tentang perkara ini.
Beliau menulis didalam kitab karangannya yang bertajuk al-Abwab wat Tarajim lis Sahih al-Bukhari.
"Dan di antara peristiwa ajaib yang pernah berlaku kepada ku adalah,
Ketika mana aku sedang menunaikan ibadah haji pada tahun 1384H bersama amir jemaah tabligh Maulana Muhammad Yusuf (semoga Allah swt menyinari pusaranya, dan meninggikan darjatnya).
Aku bersafar bersama beliau selama beberapa bulan di tanah haramain (Mekkah-Madinah). Melalui keberkatan dan kemuliaan beliau aku telah mengalami banyak kejadian-kejadian, serta mimpi-mimpi yang sangat ajaib di sepanjang safar itu.
Di antaranya adalah ketika mana aku keluar dari kota Mekkah pada pagi hari sabtu 27 zulhijjah, aku terus berjalan sehingga sampai ke Badr lalu aku tinggal di sana sehari semalam, lalu pada pagi harinya aku memasuki kota Madinah al-Munawaarah, iaitu pada hari ahad 28 Zulhijah.
Ketika di Madinah, aku telah mengalami sebuah mimpi yang ajaib,
Di dalam mimpi itu seolah-olah aku sedang beriktikaf di dalam masjid nabawi, diantara pintu as-saud dan pintu umar, betul-betul bersebelahan dengan tempat yang selalu digunakan setiap hari oleh Maulana Yusuf rah. untuk memberikan bayan tentang usaha tabligh.
Dalam mimpi itu aku melihat ramai para ulama arab dan ajam telah berkumpul, mereka semua telah mendesak aku supaya aku ajarkan kepada mereka kitab Sahih al-Bukhari, lalu disebabkan kelemahanku dan kurangnya ilmuku, aku telah meminta keuzuran daripada mereka, kerana aku bukan lah orang yang layak untuk itu. Lagikan pula kedatanganku ke kota ini adalah bermaksud untuk ziarah, bukan mengajar.
Tiba-tiba aku melihat Imam al-Bukhari datang kepadaku lalu duduk di sampingku dan berkata, "Mengajarlah! Aku ada di sampingmu, aku akan membetulkan mu nanti jika perlu.
lalu aku pun duduk untuk memenuhi perintah beliau yang mulia, maka aku pun mula mengajarkan kitab itu.
Maka aku mula menerangkan isu ''mengapakah kitab Sahih al-Bukhari ini tidak dimulakan dengan khutbah, atau hamad (pujian kepada allah) atau pun selawat kepada Rasulullah saw." (ini bertentangan dengan hadis yang masyhur -"Segala sesuatu yang tidak dimulakan dengan الحمد الله maka perkara itu terputus daripada rahmat".)
Aku telah menyebutkan kesemua tujuh jawapan yang telah diberikan oleh para ulama.
1) Hadis diatas tidak memenuhi syarat al-Bukhari.
2) Perintah dalam hadis di atas adalah untuk khutbah sahaja, untuk mengubah adat jahiliyyah yang memulakan khutbah dengan syair.
3) Hadis di atas telah pun mansukh kerana ketika Rasulullah saw berkhutbah di Hudaibiyyah Rasulullah saw tidak memulakan dengan Hamdalah, bahkan memadai dengan Basmalah.
4) Al-Bukhari mengkiaskan dengan kitabuALLAH dan surat-surat Rasulullah saw yang hanya dimulai dengan Basmalah.
5) Kerana wahyu yang pertama diturunkan adalah اقرأ dan المدثر kedua-dua wahyu ini tidak mengandungi Hamdalah.
6) Al-Bukhari sengaja meninggalkannya kerana tidak mahu mendahulukan perkataannya berbanding perkataan Allah swt dan Rasulullah sesuai dengan ayat -لا تقدموا بين يدي الله و رسوله -
7) al-Bukhari memadai mengucapkan Hamdalah dengan lisannya dan tidak ditulis.
Lalu Imam al-Bukhari berkata,
Alasan sebenarnya adalah, aku tidak menuliskan kitab ini untuk tujuan dijadikan kitab, maksudnya kitab ini tidak ditulis mengikut urutan bermula dari hadis yang pertama sehingga hadis yang terakhir seperti mana kebiasaan orang menulis kitab, sebenarnya ia adalah sebuah buku himpunan hadis yang mana di dalamnya terdapat beberapa bab dan kitab-kitab yang berbeza-beza yang telah aku kumpulkan, kemudian jadilah ia sebuah kitab".
كتاب الابواب و التراجم للكاندهلوي ج1 / ص260
Wallahuaklam .
No comments:
Post a Comment