Monday, November 2, 2015

Amalkan Surah Al Hasyr Ayat 21 baca 3 kali setiap kali lepas solat



Amalkan Surah Al Hasyr Ayat 21 baca 3 kali setiap kali lepas solat. Kemudian berdoa “Berkat fadhilat ayat ini, Ya Allah minta lembutkan hati si polan bin/bte sipolan”   InsyaAllah lembutlah hatinya.


لَوۡ أَنزَلۡنَا هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٍ۬ لَّرَأَيۡتَهُ ۥ خَـٰشِعً۬ا مُّ تَصَدِّعً۬ا مِّنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِ‌ۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَـٰلُ نَضۡرِبُہَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ

Firman ALLAH SWT
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. Al Hasyr 21)

KISAH SEORANG YANG TIDAK TAHU BACA AL-QURAN, TAPI KUBURNYA BERCAHAYA MENJULANG KE LANGIT.

Suatu kisah yang diceritakan dalam tazkirah di Masjid Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu.

Seorang lelaki melalui sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba ia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit.
Terpegun dan kaku melihat kejadian itu.

Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Samada dia seorang wali Allah atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Allah.

Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu. Keesokan harinya lelaki itu datang lagi kekawasan perkuburan itu dengan ditemani beberapa orang kampung.

Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung kerumah simati dan bertemu dengan isteri simati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat diperkuburan suaminya.

Anehnya isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenal suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa. Suaminya seorang petani biasa saja.

Bukan seorang alim, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru al-Quran. Malah suaminya tidak pandai membaca Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Quran.

Akhirnya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya.

Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam suaminya akan mengambil wudhu, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya al-Qur'an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Ia akan duduk dan membelek al-Qur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta al-Qur’an. Dia akan meraba-raba ayat-ayat Qur’an itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan mebelai sesuatu yang sangat dikasihi.

Tambah isteri simati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan. “Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu ini. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini ya Allah.” “Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu.“
“Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapan Allah diakhirat nanti”.

Lelaki itu meminta untuk melihat al-Quran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila dia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh al-Qur’an. Dia sangat mengasihi kalimah-kalimah Allah itu dengan sesungguhnya. Bererti dia mengasihi Allah dengan seluruh jiwa dan raganya.

Marilah kita menghidupkan al-Quran di dalam masjid kita, didalam rumah kita, di dalam diri kita, setiap masa dan ruangkan masa setiap hari untuk membaca dan fahami isi-isinya.

''Share'' kan cerita ini supaya kebaikan daripadanya dapat dimanfaat kepada kita semua.

Sunday, November 1, 2015

MESEJ DARI PENJARA

Pegawai penjara Pokok Sena Tuan osniezal 65
��Kita selalu mendengar tentang hukuman gantung sampai mati di corong² radio & di kaca televisyen. Hukuman ini dijatuhkan kepada pesalah² yang telah melakukan jenayah berat seperti mengedar dadah, membunuh & sebagainya. Bayangkan jika kita sendiri yang menerima hukuman tersebut, pasti kecut perut & kering darah merasai ketakutan membayangkan leher kita bakal dijerut & dibiarkan tergantung sampai mati. Harap² dijauhkan, amin…

Semoga artikel di bawah ini akan menyedarkan dan menginsafkan kita tentang akibat jika kita terlibat dalam jenayah besar & juga kecil, kerana dari yang kecil akan membawa kepada yang lebih besar.

Tali gantung yang diimport diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.

��Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekal akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri & ia diklasifikasikan sebagai senjata & ianya disimpan di dalam peti besi.

Setiap tali gantung yang diterima ada perkiraannya. Ada cara² yang kita kena ikut. Tidak boleh ambil & terus pasang. Ada empat jenis tali & tali tersebut dipilih mengikut berat banduan.

Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkuk banduan.

��APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang, banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir & ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka & hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun² sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan & Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman & di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Waktu untuk laksanakan hukuman adalah satu jam.  Untuk banduan beragama Islam biasanya hukuman gantung akan dijalankan pada hari Jumaat, selepas solat Subuh. Bagi yang bukan Islam pula, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

Biasanya banduan akhir ini akan tahu dia akan digantung bila mana dia dibawa keluar dengan tangan bergari & kawalan ketat.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk ‘perjumpaan terakhir.’

Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini.

Banduan juga diberi pilihan untuk ‘hidangan terakhir’ bernilai RM7.50.

��HARI PENGGANTUNGAN

Kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung dangan rela setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan.

Mereka yang rajin solat, tak kira agama, menunggu dengan tenang & sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat² terakhir.

Menurut seorang petugas penjara yang bernama Samsul, ‘Ada sesetengah banduan puas hati & beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu,’ katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.

‘Jangan ikut tabiat buruk ayah’. Itu antara kata² terakhir seorang banduan untuk anak²nya, yang masih Samsul ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.

‘Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai T-shirt putih & seluar solatnya. Ada yang memilih kot & tali leher. Ada yang pakai kasut kulit berharga RM300. Mati penuh bergaya, kata banduan itu dengan jenaka,’ cerita Samsul.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah & doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

��BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila ‘gear’ ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samsul, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik ‘gear’ yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira² 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samsul, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit & banduan akan diturunkan & diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

‘Saya sering ingatkan pembantu² saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.

‘Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh ketua saya dahulu,’ kata Samsul.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samsul. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai² murni kepada anak² mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

‘Segala²nya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,’ katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah
berkaitan dengan dadah.

��Kongsilah sbb ini penting untuk mendidik anak² kita ..

Saturday, October 31, 2015

ANUGERAH AL-QURAN

عن أبي عبد الرحمن السلمي عن عثمان رضي الله عنه ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال :
"خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ"

Mafhumnya:

Daripada Abu Abdurrahman As-Sulami daripada Uthman radiallahu anhu, daripada Nabi Sallallahu Alaihi wa alihi wasallam bersabda:

Sebaik-baik manusia di kalangan kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.

[Riwayat Al-Bukhari]

IKTIBAR HADIS:
            Al-Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi, wafat pada tahun 95 hijrah, terkenal di dalam sejarah sebagai pemerintah yang zalim. Namun biarpun demikian beliau jugalah seorang yang sangat menitik beratkan berkenaan al-Quran dan merupakan orang yang pertama mencetuskan idea untuk membahagi-bahagi al-Quran agar mudah dibaca olehnya sendiri. Kata beliau: “Saya ingin mengkhatamkan al-Quran dalam seminggu”. Lalu para ulama di zamannya bermesyuarat dan bersetuju untuk dijadikan al-Quran kepada tujuh juzuk. Dengan kata lain, satu juzuk tersebut bersamaan 1/7 isi al-Quran. Sehinggalah pada zaman al-Hajjaj bin Yusuf, umat Islam boleh membaca al-Quran sehari sebanyak 1/7 al-Quran sehingga genap seminggu mereka akan berjaya mengkhatamkannya.

          Namun, ternyata umat Islam sukar menandingi kemampuan al-Hajjaj bin Yusuf untuk berjaya mengkhatamkan al-Quran selama seminggu sepertinya. Lalu datanglah seorang ulama yang bernama al-Imam Abu Bakar bin ‘Ayyash, merupakan seorang ulama yang menghafaz al-Quran sebanyak 14 qiraat (bacaan) dikenali dengan Syeikhul Qurra (ulama qiraat) dan sangat mengambil berat berkenaan kitabullah ini. Beliau berkata: “Siapalah kita ingin dibandingkan dengan al-Hajjaj, beliau mampu mengkhatam al-Quran dalam seminggu sahaja! Sedangkan orang Islam lain tidak mampu melakukan sepertinya”. Bagi meraikan umat Islam ketika itu, al-Imam Abu Bakar bin ‘Ayyash membahagikan al-Quran kepada 30 juzuk, sehinggalah kekal sampai sekarang. Sedangkan ketika itu diawal kurun ke-2 hijrah.

          Selepasa daripada itu, umat Islam ingin memudahkan lagi bacaan al-Quran mereka. Mereka menyatakan: “Kami ingin membacanya dengan kiraan pagi sekali bacaan dan petang sekali bacaan untuk menghabiskan sejuzuk dari 30 juzuk ini”. Seolah-olah mereka mahu menjadikan seperti wirid atau zikir yang dibaca pagi dan petang. Dengan pemikiran sebegini, para ulama menjadikan dari 1 juzuk dibahagikan kepada 2 hizib. Apa itu hizib? Hizib ialah: ‘sesuatu yang dibaca ketika waktu pagi sekali bacaan, dan waktu petang sekali bacaan’.

          Kemudian selepas daripada itu, mereka bercadang dengan mengirakan: “Berapakah rakaat solat di siang hari yang boleh dibacakan al-Quran selepas bacaan surah al-Fatihah?” Jika dihitungkan, solat Zohor dan solat Asar hanya 4 rakaat yang dibacakan surah, dan pada malam hari Maghrib dan ‘Isyak juga 4 rakaat. Oleh itu mereka menjadikan satu hizib dibahagikan kepada 4 rubu’ sehingga kita boleh membaca 1 rubu’ bagi 1 rakaat. Maka jadilah al-Quran sebanyak 30 juzuk, daripada 1 juzuk terdapat padanya 2 hizib, dan daripada 1 hizib dipecahkan kepada 4 rubu’. Maka hari ini kita mendapati al-Quran mempunyai 30 juzuk, 60 hizib dan 240 rubu’. Adapun solat Subuh memerlukan kepada bacaan yang panjang, maka mereka membaca sebanyak 1 hizib dan diulang-ulangkan. Seluruh umat Islam bersetuju dengan kaedah sebegini untuk memudahkan bacaan mereka di samping membantu mereka untuk menghafaz al-Quran sebanyak 1 juzuk pada tempoh yang tertentu.

          Sebuah percetakan al-Quran di Turki yang bernama “Dar-Kanar” melakukan pembahagian dengan caranya yang tersendiri untuk memudahkan bacaan dan hafazan mereka. Mereka melakukan dengan kaedah solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Dengan kata lain, mereka mahu menjadikan 1 rakaat bersamaan 1 muka surat, sehingga sampai 20 rakaat mereka berjaya menghabiskan sebanyak 1 juzuk dari al-Quran.

          Bagi Ulama Hindi mereka menggunakan kaedah yang lain pula untuk memudahkan bacaan dan hafazan anak cucu mereka. Mereka menyatakan: “Al-Quran mempunyai 6000 ayat menurut riwayat Hamzah dan riwayat Hafsin 6236 ayat. Mungkin kita boleh membahagikan kepada 10 ayat sekali bacaan”. Lalu mereka menamakan setiap 10 ayat dengan ruku’: iaitu bermaksud “ruku’ di sini”. Mereka menyatakan: “Berapa rakaat solat yang difardukan kepada umat Islam?” kita katakan: “17 rakaat”. Mereka berkata lagi: “Berapa rakaat solat yang dibacakan surah?” Kitakan katakan: “10 rakaat dari 17 rakaat tadi”. Justeru, 10 rakaat dibacakan dengan 10 ayat akan bersamaan 100 ayat sehari dengan solat fardhu.

Mereka mengira lagi: “Berapa rakaat solat sunat pula?” kita katakan: “17 rakaat juga, namun yang dibaca hanya 10 rakaat sahaja”. Justeru, 10 rakaat sunat dibacakan dengan 10 ayat bersamaa 100 ayat sehari dengan solat sunat. Sekiranya dihitungkan bacaan solat fardhu dan sunat sehari maka jumlahnya bersamaan 200 ayat yang dibaca. Maka 200 ayat sehari dibaca selama 30 hari dalam sebulan bersamaan 6000 ayat sekali khatam. Kita boleh saksikan sendiri dengan merujuk kepada al-Quranul Majid dengan huruf "ع" pada setiap 10 ayat yang dinamakan ruku’ supaya setiap 10 ayat maka bolehlah ruku’ padanya.

          Demikian kisah orang terdahulu yang berusaha untuk membaca dan menghafaz al-Quran sehingga kekal ke hari ini. Mudah-mudahan kisah seperti ini menjadikan kita akan terus bersemangat untuk membaca al-Quran selepas mengetahui usaha gigih orang dahulu untuk al-Quran sehingga memudahkan bacaan kita pada hari ini. Wallahu a’lam.

Angin ahmar

Pada satu ketika dimana Nabi Allah Sulaiman duduk di singgahsananya, maka datang satu lembaga yang cukup besar, maka bertanya Nabi Allah Sulaiman "siapakah engkau?".

Maka dijawab oleh lembaga tersebut bahawa akulah Rihul Ahmar....dan aku bila memasuki rongga anak adam, maka lumpuh, keluar darah dari rongga, dan apabila aku memasuki otak anak adam, maka menjadi gilalah anak adam.

Maka diperintahkan oleh Nabi Sulaiman a.s supaya membakar lembaga tersebut, maka berkata Rihul Ahmar kpd Nabi Sulaiman a.s. bahawa "Aku kekal sehingga hari kiamat, tiada sesiapa yg dapat membinasakan aku melainkan Allah. Lalu Rihul Ahmar tadi pun ghaiblah.

Diriwayatkan cucunda Nabi Muhammad saw. terkena Rihul Ahmar sehingga keluar darah dari rongga hidungnya. Maka datang Jibril kpd Nabi saw. bertanya Nabi kpd Jibril. Maka ghaib sebentar Jibril lalu kembali mengajari akan doa Rihul Ahmar kpd Nabi saw. Kemudian dibaca doa tersebut kepada cucundanya dan dengan sekejap jua sembuh serta merta. Lalu bersabda Nabi saw. bahawa barang siapa membaca doa strok. Doa Rihul Ahmar walau sekali dalam seumur hidupnya, maka akan dijauhkan dari penyakit ANGIN AHMAR atau STROK.

Dulu-dulu kita ditipu

Keberkatan solat - satu catatan ust ahmad daud

Bismillah.

Sedikit perkongsian, tentang solat dan keberkatan waktu yg ada di dalamnya. Saya yakin setiap orang pernah merasa walaupun hanya sekali, secara sedar atau sebenarnya banyak kali berlaku tetapi tidak sedar tentang keajaiban tersebut. Saya pernah, sebenarnya banyak kali tetapi hanya ingin kongsikan dua kisah sepanjang kehidupan saya, begitu dekat dgn saya, dan ia terkait dengan SOLAT DAN KEBERKATAN WAKTU nya.

SITUASI 1

Ketika di Matrikulasi Uiam dahulu, kira-kira 10 tahun yg lalu. Saya ada seorang pensyarah yg bernama Mrs. Jagdish Sidhu. Beliau mengajar saya subjek Reading. Selalu saya kelam kabut mengejar utk sampai ke kelas beliau daripada kelas sebelumnya. Kelam kabut nak makan, kelam kabut nak solat, kelam kabut semula nak ke kelas nya di bangunan smawp. Lambat seminit, pasti akan dihalau keluar. Beliau akan sentiasa mengelek jam dinding di celah ketiaknya, dan semua orang kena ikut waktu jam yg dibawa nya.

Pernah sekali, saya solat zohor lama sangat. Baca dgn penuh khusyuk dan menghayati maksud. Sebenarnya dgn harapan, saya terlepas waktu dan tak perlu rushing ke kelas tersebut ;p Apa yg terjadi ialah sebaliknya. Waktu masih banyak! Dan saya berlenggang ke kelas beliau. Pun masih ada waktu berbaki setelah saya sampai ke kelas.

Saya jadi wow! Walaupun sebenarnya ada sedikit kerungsingan, kenapa dah solat lama-lama pun tapi masih ada waktu berbaki untuk pergi ke kelas seolah jarum jam tak bergerak? Hehehe

Bila kenangkan semula, itulah keberkatan waktu solat. Solat yg didirikan tanpa kelam kabut, menghasilkan waktu yg lebih byk selepas itu.

SITUASI 2

Berlaku ketika saya menguruskan anak bersendirian ('Ulya) dan suami saya jauh di Makkah. Saya selalu kesuntukan waktu untuk mengulangkaji pelajaran sekiranya tiba musim sejuk/winter kerana biasanya kami akan sama-sama sakit. Akan sama-sama meredah hujan. Akan silih berganti demam, selsema dan batuk. Pernah sehingga saya pitam dan hampir pengsan mengurusi diri sendiri dan anak. (MashaAllah hebat sungguh ibu-ibu tunggal di luar sana!)

Pada suatu hari yg sepatutnya saya perlu menghadapi peperiksaan Sirah Nabawiyyah, Dr. Khalid Syurman, saya telah keluar awal sejam utk bertemu Doktor, meminta syafaat lah konon nya untuk membenarkan saya menangguhkan peperiksaan ke hari berikutnya. Ekoran dari tak habis study lagi subjek tersebut. Doktor hanya senyum dan cakap, Allah akan tolong kamu. (Beliau tahu kondisi saya berjauhan dgn suami dan ada anak bersama saya)

Saya tak cakap banyak, terus mencari sudut tertutup di tingkat yg sama, bentang tuala good morning dan solat sunat 2 rakaat. Saya tak tahu nak solat apa, saya tak solat hajat, saya hanya solat sunat. Teringat ustazah kat Dq pernah bagitahu, kalau dah boring sangat tak tahu nak buat apa, solat sunat. Jadi, saya buntu, tak tahu nak solat apa, saya terus solat sunat dan solat dgn agak lama.

Ajaibnya.

Masa menjadi begitu panjang, hati saya begitu tenang, otak dan fikiran saya terasa lapang dan pelajaran mudah masuk. MashaAllah! Subhanallah! Dan saya masih ingat, ketika dapat kertas jawapan tersebut, Dr senyum pada saya dengan beberapa taujihat yg masih saya ingat sampai sekarang.

MashaAllah.
Di dunia lagi Allah telah menunjukkan kekuasaanNya.

Minggu lepas, suami ada berkongsikan sesuatu yg berkaitan dgn solat. Kata beliau, Dr. Abd Jalil Dhomroh ketika di dalam kelas sempat mengisahkan bagaimana waktu solat yg dibiarkan tanpa mengerjakan solat selepas bermulanya waktu solat tersebut adalah dinilai sebagai lalai. Lalai dari mengingati Allah SWT. Sebagai contoh, setiap sejam terlewat daripada awal waktu solat, maka 1/24 jam kita dinilai sebagai lalai. Lebih malang lagi, jika setiap waktu terlewat, semakin besar nisbah lalai kita di sisi Allah. Sekiranya masuk waktu, dan terus menunaikan solat, maka waktu yg selepasnya itu dikira sebagai waktu yg sentiasa mengingati Allah. Cuba kira berapa nisbah hitungan lalai kita dalam hari ini, minggu ini, dan bulan ini.

Kata suami lagi memberi contoh.

"Tengok ayah, kalau dia buat kerja macamana pun mesti dia berhenti bila masuk waktu solat.."

"Tengok Tok Guru (Nik Aziz). Kalau ke mana-mana, benda pertama yg dia akan tanya dulu pada drivernya, nanti kita akan solat di mana."

Tok Guru, siap pesan lagi pada driver dia, setiap setengah jam sebelum waktu solat, kena berhenti di mana-mana masjid.

Dan saya teringat, ibunda kepada artis terkenal. Suka ayah saya melihatnya, bersedia awal sebelum masuk waktu solat. Awal lagi telah dihamparkan sejadah utk bersolat. Mukanya cerah bersih, sejuk mata memandang walaupun usianya telah mencecah 70 tahun. Subhanallah. Cahaya orang yg menjaga solatnya.

Subhanallah.
Betapa besar impak solat di dalam kehidupan kita. Padanya ada masa yang berkat. Padanya ada hidup yg nikmat.

Semoga kita semua tergolong dikalangan mereka yg bertaqwa dan beramal soleh. Sentiasa meletakkan akhirat di hadapan tanpa meninggalkan dunia. Dan tidak meletakkan dunia di hadapan, jauh melupakan akhirat, negeri yg kekal abadi.

Wallahu A'lam.

Baytul 'Ulya, Irbid Jordan.
1933 hrs | 26 Okt 2015