Saturday, October 31, 2015

ANUGERAH AL-QURAN

عن أبي عبد الرحمن السلمي عن عثمان رضي الله عنه ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال :
"خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ"

Mafhumnya:

Daripada Abu Abdurrahman As-Sulami daripada Uthman radiallahu anhu, daripada Nabi Sallallahu Alaihi wa alihi wasallam bersabda:

Sebaik-baik manusia di kalangan kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.

[Riwayat Al-Bukhari]

IKTIBAR HADIS:
            Al-Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi, wafat pada tahun 95 hijrah, terkenal di dalam sejarah sebagai pemerintah yang zalim. Namun biarpun demikian beliau jugalah seorang yang sangat menitik beratkan berkenaan al-Quran dan merupakan orang yang pertama mencetuskan idea untuk membahagi-bahagi al-Quran agar mudah dibaca olehnya sendiri. Kata beliau: “Saya ingin mengkhatamkan al-Quran dalam seminggu”. Lalu para ulama di zamannya bermesyuarat dan bersetuju untuk dijadikan al-Quran kepada tujuh juzuk. Dengan kata lain, satu juzuk tersebut bersamaan 1/7 isi al-Quran. Sehinggalah pada zaman al-Hajjaj bin Yusuf, umat Islam boleh membaca al-Quran sehari sebanyak 1/7 al-Quran sehingga genap seminggu mereka akan berjaya mengkhatamkannya.

          Namun, ternyata umat Islam sukar menandingi kemampuan al-Hajjaj bin Yusuf untuk berjaya mengkhatamkan al-Quran selama seminggu sepertinya. Lalu datanglah seorang ulama yang bernama al-Imam Abu Bakar bin ‘Ayyash, merupakan seorang ulama yang menghafaz al-Quran sebanyak 14 qiraat (bacaan) dikenali dengan Syeikhul Qurra (ulama qiraat) dan sangat mengambil berat berkenaan kitabullah ini. Beliau berkata: “Siapalah kita ingin dibandingkan dengan al-Hajjaj, beliau mampu mengkhatam al-Quran dalam seminggu sahaja! Sedangkan orang Islam lain tidak mampu melakukan sepertinya”. Bagi meraikan umat Islam ketika itu, al-Imam Abu Bakar bin ‘Ayyash membahagikan al-Quran kepada 30 juzuk, sehinggalah kekal sampai sekarang. Sedangkan ketika itu diawal kurun ke-2 hijrah.

          Selepasa daripada itu, umat Islam ingin memudahkan lagi bacaan al-Quran mereka. Mereka menyatakan: “Kami ingin membacanya dengan kiraan pagi sekali bacaan dan petang sekali bacaan untuk menghabiskan sejuzuk dari 30 juzuk ini”. Seolah-olah mereka mahu menjadikan seperti wirid atau zikir yang dibaca pagi dan petang. Dengan pemikiran sebegini, para ulama menjadikan dari 1 juzuk dibahagikan kepada 2 hizib. Apa itu hizib? Hizib ialah: ‘sesuatu yang dibaca ketika waktu pagi sekali bacaan, dan waktu petang sekali bacaan’.

          Kemudian selepas daripada itu, mereka bercadang dengan mengirakan: “Berapakah rakaat solat di siang hari yang boleh dibacakan al-Quran selepas bacaan surah al-Fatihah?” Jika dihitungkan, solat Zohor dan solat Asar hanya 4 rakaat yang dibacakan surah, dan pada malam hari Maghrib dan ‘Isyak juga 4 rakaat. Oleh itu mereka menjadikan satu hizib dibahagikan kepada 4 rubu’ sehingga kita boleh membaca 1 rubu’ bagi 1 rakaat. Maka jadilah al-Quran sebanyak 30 juzuk, daripada 1 juzuk terdapat padanya 2 hizib, dan daripada 1 hizib dipecahkan kepada 4 rubu’. Maka hari ini kita mendapati al-Quran mempunyai 30 juzuk, 60 hizib dan 240 rubu’. Adapun solat Subuh memerlukan kepada bacaan yang panjang, maka mereka membaca sebanyak 1 hizib dan diulang-ulangkan. Seluruh umat Islam bersetuju dengan kaedah sebegini untuk memudahkan bacaan mereka di samping membantu mereka untuk menghafaz al-Quran sebanyak 1 juzuk pada tempoh yang tertentu.

          Sebuah percetakan al-Quran di Turki yang bernama “Dar-Kanar” melakukan pembahagian dengan caranya yang tersendiri untuk memudahkan bacaan dan hafazan mereka. Mereka melakukan dengan kaedah solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Dengan kata lain, mereka mahu menjadikan 1 rakaat bersamaan 1 muka surat, sehingga sampai 20 rakaat mereka berjaya menghabiskan sebanyak 1 juzuk dari al-Quran.

          Bagi Ulama Hindi mereka menggunakan kaedah yang lain pula untuk memudahkan bacaan dan hafazan anak cucu mereka. Mereka menyatakan: “Al-Quran mempunyai 6000 ayat menurut riwayat Hamzah dan riwayat Hafsin 6236 ayat. Mungkin kita boleh membahagikan kepada 10 ayat sekali bacaan”. Lalu mereka menamakan setiap 10 ayat dengan ruku’: iaitu bermaksud “ruku’ di sini”. Mereka menyatakan: “Berapa rakaat solat yang difardukan kepada umat Islam?” kita katakan: “17 rakaat”. Mereka berkata lagi: “Berapa rakaat solat yang dibacakan surah?” Kitakan katakan: “10 rakaat dari 17 rakaat tadi”. Justeru, 10 rakaat dibacakan dengan 10 ayat akan bersamaan 100 ayat sehari dengan solat fardhu.

Mereka mengira lagi: “Berapa rakaat solat sunat pula?” kita katakan: “17 rakaat juga, namun yang dibaca hanya 10 rakaat sahaja”. Justeru, 10 rakaat sunat dibacakan dengan 10 ayat bersamaa 100 ayat sehari dengan solat sunat. Sekiranya dihitungkan bacaan solat fardhu dan sunat sehari maka jumlahnya bersamaan 200 ayat yang dibaca. Maka 200 ayat sehari dibaca selama 30 hari dalam sebulan bersamaan 6000 ayat sekali khatam. Kita boleh saksikan sendiri dengan merujuk kepada al-Quranul Majid dengan huruf "ع" pada setiap 10 ayat yang dinamakan ruku’ supaya setiap 10 ayat maka bolehlah ruku’ padanya.

          Demikian kisah orang terdahulu yang berusaha untuk membaca dan menghafaz al-Quran sehingga kekal ke hari ini. Mudah-mudahan kisah seperti ini menjadikan kita akan terus bersemangat untuk membaca al-Quran selepas mengetahui usaha gigih orang dahulu untuk al-Quran sehingga memudahkan bacaan kita pada hari ini. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment