Ketika kita lewat masuk kerja, kita berasa malu dan bercakap perlahan-lahan kerana malu dengan "bos".
Namun, adakah kita juga ada perasaan yang sama ketika kita lewat mendirikan solat dan ketika kita berhadapan dengan Allah?
Awas daripada tergolong dalam golongan yang akan dihumban ke dalam lembah al-Ghaiy!
قال الله تعالى :
"فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا." (سورة مريم : ٥٩)
Firman Allah Taala yang bermaksud :
"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang MENCUAIKAN SOLAT serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan dihumban ke dalam lembah al-Ghaiy (sebuah lembah yang paling dalam dan sangat panas dalam neraka)." (Surah Maryam : 59)
Imam at-Tabi'in, Sa'id ibnu al-Musaiyyib rahimahullah menyatakan bahawa mereka yang mencuaikan solat itu ialah golongan yang memiliki ciri-ciri berikut :
1) Mereka tidak akan menunaikan Solat Zohor kecuali apabila sudah hampir masuk waktu Solat Asar.
2) Mereka tidak akan menunaikan Solat Asar kecuali apabila sudah hampir masuk waktu Solat Maghrib.
3) Mereka tidak akan menunaikan Solat Maghrib kecuali apabila sudah hampir masuk waktu Solat Isyak.
4) Mereka tidak akan menunaikan Solat Isyak kecuali apabila sudah hampir masuk waktu Solat Subuh.
5) Mereka tidak akan menunaikan Solat Subuh kecuali apabila sudah terbit matahari.
Sumber : تفسير البغوي
Berhati-hatilah wahai sahabat-sahabat yang dirahmati Allah. Sesiapa yang berterusan dengan sifat yang demikian, mereka berhadapan dengan amaran daripada Allah yang berfirman :
" فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا."
"Maka mereka akan dihumban ke dalam lembah al-Ghaiy (sebuah lembah yang paling dalam dan sangat panas dalam neraka)."
نسأل الله العافية والسلامة.
"Ya Allah, ampunkanlah dosa kami semuanya dan taufiqkanlah kami dan zuriat kami untuk sentiasa mendirikan solat pada awal waktu sepanjang hidup kami sehinggalah kami dipanggil kembali kepada-Mu."
الراجي إلى عفو ربه،
أبو عمار مدني،
غفر الله له ولوالديه ولجميع المسلمين.
No comments:
Post a Comment