Tuesday, November 24, 2015

Balasan yang disedari dan yang tidak disedari...

Balasan yang disedari dan yang tidak disedari...

Seorang pelajar bertanya kepada gurunya: "Mengapakah apabila kita banyak melakukan maksiat kepada Allah, tetapi Allah tidak menimpakan balasanNya ke atas kita dengan segera?"

Gurunya menjawab: "Allah telah menimpakan balasanNya, tetapi engkau yang tidak menyedarinya..!".

"Bukankah Allah telah mencabut perasaan indah bermunajat denganNya dari hatimu...!!

Tiada balasan yang lebih berat ditimpakan ke atas seseorang dengan penyakit "hati yang keras".

Sesungguhnya seberat-berat bala yang akan ditimpakan ke atasmu ialah Allah akan menyempitkan laluanmu ke arah jalan kebaikan.

Bukankah telah berlaku ke atas dirimu engkau tidak membaca Al-Qur'an selama beberapa hari?

Bahkan mungkin engkau mendengar firmanNya yang berbunyi: "Jika Kami turunkan Al-Qur'an ini ke atas gunung nescaya engkau akan melihatnya khusyuk dan hancur luluh kerana takutkan Allah" (Surah Al-Hasyr: 21)

Engkau mendengar ayat ini, tetapi engkau tidak merasakan apa-apa...!!!

Bukankah berlalu beberapa malam, tetapi engkau terhalang daripada bangun qiyamullail?

Bukankah berlalu peluang-peluang kebaikan seperti: Ramadhan, Enam Syawwal, Sepuluh Zulhijjah.

Sedangkan engkau tidak dipermudahkan untuk mengambil peluang-peluang tersebut dengan sewajarnya.....

Adakah balasan yang lebih berat dan segera dari semua ini?

Bukankah engkau merasa berat apabila mahu melakukan ketaatan?

Bukankah lidahmu ditahan daripada mengingatiNya?

Bukankah engkau merasa lemah pabila berhadapan dengan bisikan hawa nafsu dan syahwat?

Bukankah engkau telah ditimpakan dengan cintakan harta, pangkat dan perasaan ingin popular?

Adakah balasan yang lebih berat dan segera daripada ini semua?

Bukankah dipermudahkan bagimu untuk mengumpat, mengadu domba dan berkata dusta?!

Bukankah engkau disibukkan dengan perkara-perkara sia-sia, yang tiada kaitan dengan dirimu?!

Bukankah engkau telah dilupakan tentang akhirat, dan segala tumpuanmu dihalakan kepada hal keduniaan?

Semua kehinaan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bentuk-bentuk balasan yang Allah timpakan ke atas dirimu.

Berhati-hatilah wahai anakku, kerana balasan yang paling ringan yang Allah timpakan: "Balasan yang boleh disedari seperti bala yang ditimpakan ke atas harta, anak pinak dan kesihatan.

Dan sesungguhnya sebesar-besar bala yang ditimpakan ke atas hamba adalah, balasan yang tidak disedari iaitu "balasan di dalam hati."

Mohonlah keampunan dan kesejahteraan dari Allah dan beristighfarlah atas dosa-dosamu.

No comments:

Post a Comment